ABS Greentech jalin kerjasama strategik tingkat sektor pertanian pintar dan keterjaminan makanan

Kuala Lumpur – Sebanyak 11 perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara ABS Greentech Sdn. Bhd. dengan beberapa pemain industri berkaitan dari luar negara bagi projek pembiayaan sektor pertanian pintar.

Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R M Ravichandar berkata, pembiayaan sebanyak RM550 Juta itu bagi meningkatkan teknik pertanian pintar dan menggalakkan keterjaminan makanan di Malaysia.

“Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan 25 mesyuarat bersama negara-negara luar bagi membincangkan apa yang diperlukan dalam sektor pertanian negara.

“Di Malaysia, kita masih lagi ketinggalan dalam industri pertanian pintar berbanding negara lain, kita ada tanah dan bakat tetapi kita tiada teknologi yang tepat dan tidak tahu kemana harus dipasarkan.

“Untuk bawa masuk teknologi yang terbaik sudah tentulah menggunakan IPM (Intergrated Pest Management) dan kos yang diperlukan juga tinggi, oleh itu dana sebanyak RM550 Juta dibawa masuk bagi membantu petani-petani kita” jelasnya dalam sidang media pada Asia Smart Farming and Food Security 2023 Event and Exhibition.

Ujarnya lagi, penggunaan teknologi IPM sangat diperlukan pada masa kini dan Malaysia perlu selari dengan negara-negara luar yang terlebih dahulu menggunakannya.

Setakat ini, negara kerugian hampir RM10 bilion dalam tempoh lima tahun ini berikutan serangan serangga perosak dan penyakit invasif ke atas bukan sahaja hasil tanaman malah perdagangan berkaitan.

“Sektor pertanian pintar perlu diaplikasikan sekarang di Malaysia bagi memastikan kita setanding negara luar dan ini sangat perlu bagi membantu meningkatkan ekonomi para petani dan negara amnya.

“Dari segi pengeksportan sayur-sayuran, kita perlu pastikan tiada penggunaan racun perosak tetapi negara kita masih lagi mengamalkannya dan ini menyebabkan ia sukar dibawa ke negara luar” jelasnya lagi.

Dana yang dibawa masuk dari negara penyumbang terbesar antaranya; Arab Saudi, Dubai dan Korea Selatan itu bertujuan melatih para petani cara pertanian pintar menggunakan teknologi IPM dengan teknik sifar racun perosak dan bahan kimia.

“Dana pelaburan yang dibawa masuk itu nanti boleh diuruskan melalui koperasi, konsortium atau SPV (Special Purpose Vehicle), seperti contoh Hadarat Global yang menyumbang 10 Juta USD menyatakan pembiayaan tidak perlu dibayar balik dalam tempoh 3 tahun pertama jika projek yang dijalankan menunjukkan prestasi positif.

“MoU yang ditandatangani juga menyatakan jika sesebuah syarikat pertanian menunjukkan komitmen baik, pembiayaan yang dibuat juga berpotensi beralih kepada geran dan saya yakin ini satu peluang baik untuk para petani kita” tambahnya.

Latihan memfokuskan kepada petani muda selama 6 bulan dan dana permulaan yang diperlukan untuk membina rumah hijau yang sofistikated seterusnya kearah pemasaran hasil tanaman menembusi pasaran global.

Dalam persidangan tersebut, Pengarah Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi, Datin Zaeidah Mohamed Esa berkata, inisiatif pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) bagi sektor industri pertanian menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) adalah antara usaha kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan negara.

“Kebergantungan import kita masih tinggi, nilai import untuk tahun 2021 adalah RM63.6 billion dan angka ini meningkat kepada RM75.6 billon pada 2022. Ini menunjukkan permintaan semakin tinggi dan trend pemakanan telah berubah.

“Apabila perkara ini tidak ditangani maka keterjaminan negara tergugat. Maka, apa yang kita ingin capai untuk KSP RMK12 menerusi HGHV ini adalah untuk tingkatkan ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan makanan dan kemampanan sektor industri pertanian,” katanya.

Sebagai tambahan, Intergrated Pest Management (IPM) ialah pendekatan menyeluruh dan mampan untuk kawalan perosak yang menekankan penggunaan pelbagai teknik untuk mencegah dan mengurus serangga perosak secara berkesan. Ia menggunakan gabungan langkah kawalan budaya, biologi, kimia dan genetik untuk mengekalkan populasi perosak pada tahap yang boleh diterima sambil meminimumkan potensi risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Kawalan biologi adalah satu lagi elemen penting IPM, menggunakan musuh semula jadi perosak untuk mengawal populasi mereka. Musuh semulajadi ini boleh termasuk pemangsa, parasit, dan patogen. Dengan menggalakkan kehadiran dan aktiviti organisma berfaedah melalui kepelbagaian habitat dan pemuliharaan habitat semula jadi, petani boleh menguruskan populasi perosak dengan berkesan tanpa bergantung kepada racun kimia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *