ADAPTASI TEKNOLOGI PERTANIAN BEBAS RACUN PEROSAK UNTUK HASILKAN PRODUK SELAMAT

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MOU) antara Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd R.M Ravichandar (kiri) bersama Timbalan Presiden Priva Horticulture B.V, Bram Koppert (kanan) pada majlis menandatangani memorandum tersebut hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ahmad Hamzah (dua, kiri). — fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Pengusaha industri sayur tempatan perlu mengadaptasi teknologi pertanian moden yang bebas daripada racun perosak, bagi menghasilkan produk yang lebih selamat untuk dimakan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata landskap industri pengeluaran sayur negara, perlu berubah kepada pertanian moden yang berasaskan teknologi supaya kos pengeluaran dapat dikurangkan.

“Pengusaha industri pertanian generasi muda perlu mendalami ilmu pertanian berasaskan teknologi supaya sektor pertanian negara lebih moden dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara luar,” katanya kepada pemberita di Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Ronald ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara syarikat tempatan ABS Greentech Sdn Bhd bersama empat syarikat agro-teknologi antarabangsa iaitu Lentiz Education Group, Priva Horticulture, Powerplants Australia dan Rijk Zwaan.

Beliau berkata menerusi MoU tersebut, keempat-empat pemain industri pertanian antarabangsa yang terlibat akan berkongsi pengalaman dan pendekatan, dalam membangun dan menggalakkan penggunaan teknologi Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM), untuk kemampanan sistem dan teknologi pertanian.

“Melalui kerjasama ini, usahawan khususnya petani muda akan diberi latihan jangka pendek dalam pengurusan tanaman, terutamanya melibatkan penggunaan teknologi terkini bagi aktiviti agronomi dan program pengurusan perosak yang lebih mesra alam, menjimatkan dan selamat untuk biodiversiti kita (Malaysia),” katanya.

Ronald berkata beliau optimis kepakaran dan teknologi yang diperkenalkan daripada kerjasama yang dimeterai hari ini, akan menggalakkan inovasi dalam sektor pertanian negara seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti hasil pertanian, seterusnya mampu mewujudkan peluang pasaran baharu bagi hasil pertanian Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *