KUALA LUMPUR – Sampai bila Malaysia perlu bergantung kepada import bahan makanan yang tinggi? Itu persoalan yang dibangkitkan Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R M Ravichandar, selepas import negara bagi barangan makanan termasuk benih tumbuhan mencecah RM70 bilion setahun dan meningkat kepada RM75.5 bilion tahun lalu.
Menurut Ravichandar, dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import, usaha terhadap pemerkasaan sektor pertanian domestik perlu diperhebat menerusi penggunaan teknologi dan kaedah pemasaran yang betul.
Jelasnya, suhu dan iklim di Malaysia yang berpotensi menghasilkan produk makanan dalam kuantiti yang tinggi, perlu dimanfaat sepenuhnya bagi meningkatkan eksport negara.
“Salah satu kekangan di Malaysia adalah kita ada tanah, kita ada potensi dan kita ada tumbuhan tetapi dua masalah besar di Malaysia adalah pemasaran produk dan yang kedua adalah teknologi yang mana petani kita tidak menggunakan teknologi pintar kerana kos yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Asia Smart Farming & Food Security di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, minggu lalu.