Membawa pendekatan baharu dalam sektor pertanian pintar, ABS Greentech Sdn Bhd memperkenalkan teknologi Intergrated Pest Management (IPM) sebagai solusi kepada menggalakkan keterjaminan makanan di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R M Ravichandar, sebanyak 11 perjanjian persefahaman (MoU) bernilai RM550 juta dimeterai membabitkan beberapa negara seperti Arab Saudi, Dubai dan Korea Selatan.
Ulasnya, Malaysia ketinggalan 15 tahun dalam sektor pertanian berbanding Myanmar dan usaha mengenengahkan teknologi ini secara tidak langsung menggalakkan hasil pertanian selain meningkatkan potensi eksport ke luar negara.
“Malaysia ketinggalan dalam sektor pertanian berbanding negara lain kerana kekurangan ilmu selain dana bagi mendapatkan kemahiran dan teknologi pintar. Atas sebab itu, kami anjurkan Persidangan Asia Smart Farming and Food Security 2023 Event and Exhibition dan melibatkan beberapa negara bagi membincangkan apa yang diperlukan dalam sektor pertanian negara.
“Dan kami akan membawa masuk teknologi terbaik menggunakan IPM bagi membantu petani di Malaysia meningkatkan lagi hasil selain mengurangkan penggunaan racun perosak,” jelasnya sewaktu sidang media.
Tambah Ravichandar, sektor pertanian merupakan agenda penting dalam pembangunan negara dan seharusnya diberi keutamaan kerana ia antara penyumbang utama ekonomi.
“Kekangan yang dihadapi petani kita ialah tiada ilmu asas menyebabkan hasil pertanian tidak berkualiti sehingga sukar dieksport ke negara luar. Harus saya tekankan penggunaan racun perosak yang tiada kawalan menyebabkan hasil pertanian kita tidak diterima terutama di negara maju,” jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, teknologi IPM merupakan pendekatan menyeluruh untuk kawalan perosak yang menekankan penggunaan pelbagai teknik untuk mencegah dan mengurus serangga perosak secara berkesan. Dana daripada perjanjian ini bertujuan melatih para petani cara pertanian pintar menggunakan teknologi IPM dengan teknik sifar racun perosak dan bahan kimia.
Malah ulasnya, petani muda akan diberi ilmu dan praktikal menerusi skim latihan selama enam bulan dan seterusnya memberi fokus kepada pemasaran hasil tanaman ke arah pasaran global.