Negara kerugian RM10 bilion angkara serangan perosak, penyakit invasif – MAFI [METROTV]

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) merekodkan negara kerugian hampir RM10 bilion dalam tempoh lima tahun ini berikutan serangan perosak dan penyakit invasif ke atas bukan sahaja hasil tanaman malah perdagangan berkaitan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dengan keadaan semasa ekonomi dunia yang terjejas akibat pandemik Covid-19, pastinya negara tidak mahu kehilangan hasil pertanian akibat ketidakboleh pasaran atau kemusnahan hasil pertanian.

Beliau berkata, akibat serangan serangga perosak dan penyakit invasif itu akan memburukkan lagi keadaan ekonomi semasa jika tidak ditangani.

“Berdasarkan kepada maklumat terkini daripada pihak Food and Agriculture Organization (FAO), perosak dan penyakit tanaman sudah mengakibatkan kerugian ketara hasil tanaman makanan sebanyak 20 hingga 40 peratus.

“Selain itu, ia turut mencatatkan kerugian dalam perdagangan produk pertanian dunia melebihi AS$220 bilion atau bersamaan dengan hampir RM1 trilion,” katanya dalam ucapan sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara ABS Greentech Sdn Bhd bersama syarikat agro-teknologi antarabangsa iaitu Lentiz Education Group, Priva Horticulture, Powerplants Australia dan Rijk Zwaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Mafi I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi

Hassan, Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R M Ravichandar dan Timbalan Presiden Priva Horticulture B V, Bram Koppert.

Ronald berkata, beliau difahamkan pemain industri itu adalah antara yang terkenal dalam bidang pertanian moden peringkat antarabangsa yang bersedia berkongsi pengalaman dan pendekatan negara dalam terus membangunkan serta menggalakkan penggunaan teknologi yang sesuai.

“Ini khususnya dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) untuk meningkatkan pemahaman mengenai kemampanan sistem dan teknologi pertanian. IPM juga antara kriteria dalam pensijilan amalan

pertanian baik (myGAP) untuk menjamin kualiti dan keselamatan produk pertanian yang dihasilkan.

“Saya percaya, kepakaran dan teknologi yang diperkenalkan daripada kerjasama ini akan lebih menggalakkan lagi penggunaan inovasi dalam sektor pertanian negara. Seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti hasil pertanian serta mewujudkan peluang pasaran baru bagi hasil pertanian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pemeteraian MoU itu adalah antara usaha berterusan MAFI dalam menambah baik program pengurusan perosak tanaman yang adalah satu daripada bidang tumpuan utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) ke arah memastikan sekuriti dan keselamatan makanan negara.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, usahawan khususnya petani muda akan diberi latihan jangka pendek dalam pengurusan tanaman terutamanya membabitkan penggunaan teknologi terkini bagi aktiviti agronomi dan program pengurusan perosak yang lebih mesra alam, menjimatkan serta selamat untuk biodiversiti.

“MAFI sentiasa memberikan sepenuh sokongan bagi inisiatif seumpama ini dan mengharapkan jalinan kerjasama berterusan di antara syarikat, Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan

Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus diperkasa.

“Saya yakin dan percaya, majlis hari ini menjadi satu bukti komitmen pihak industri dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam melaksanakan pengurusan perosak secara mampan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan demi memperkukuhkan lagi jaminan Sekuriti Makanan Negara,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2022 @ 5:19pm

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *